KAKITANGAN Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS) menunjukkan surat setuju terima projek menaik taraf ITYNS di Seremban. FOTO Ihsan Pejabat MB Negeri Sembilan
KAKITANGAN Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS) menunjukkan surat setuju terima projek menaik taraf ITYNS di Seremban. FOTO Ihsan Pejabat MB Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil

KERAJAAN negeri akan menaik taraf Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS) di Gentam Kuala Pilah dengan peruntukan RM10 juta, bagi menampung permintaan tinggi kalangan pelajar dalam bidang vokasional dan teknikal (TVET).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata projek menaik taraf itu yang membabitkan pembinaan tiga blok bangunan baharu sebagai pusat akademik, pentadbiran dan surau, akan bermula 28 Ogos ini.

Katanya, projek berkenaan dijangka siap pada Februari 2022, sekali gus mampu menampung sehingga 800 orang pelajar bagi kursus peringkat sijil dan diploma.

"Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada tahun lalu , dana berjumlah RM10 juta sudah diperuntukkan untuk projek ini.

"ITYNS adalah kumpulan akademi Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan kerajaan negeri berharap langkah menaik taraf institut kemahiran ini, akan membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran di situ," katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek berkenaan, di Seremban, hari ini.

Aminuddin juga berkata, pihaknya yakin pelajar akan menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa apabila projek berkenaan siap kelak.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan institut berkenaan sebagai salah satu pusat latihan vokasional dan teknikal (TVET) yang terkemuka di negara ini di masa depan.

"Insya-Allah dengan adanya bangunan baharu beserta pelbagai kemudahan kelak, institut kemahiran ini akan dapat memenuhi keperluan industri negara.

"Malah, dengan kakitangan pengurusan mencukupi serta program kemahiran baru yang sedang dirangka dan akan dilaksanakan, kita yakin institusi ini akan jadi pilihan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:31 PM