Balqis Jazimah Zahari


"DIA (Haziq) menangis dan masih trauma," kata Mohd Zakri Mat Isa, 37, bapa saudara kepada Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9, yang sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh susulan nahas yang mengorbankan tujuh sekeluarga di kilometer (km) 5 Jalan Keramat Pulai, kelmarin.

Mohd Zakri berkata, emosi Haziq ketika ini masih trauma dengan kejadian dan pemergian seluruh keluarganya itu.

"Tadi saya saya ada 'video call' dengan Haziq... dia menangis dan masih trauma," katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Katanya, Haziq dan dua anak sepupunya, Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan Apit, 16, sedang dirawat di hospital berkenaan.

"Haziq berada di wad, manakala Firash dan Apit berada di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital.

"Sekarang ini kami sedang bergilir-gilir menjaga mereka di hospital," katanya.

Dalam kejadian 5.45 petang kelmarin, Perodua Alza yang membawa 10 penumpang bertembung treler di Jalan Keramat Pulai, Ipoh menghala ke pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang.

Nahas mengorbankan kedua-dua ibu bapa Haziq Mohd Zairul Mat Isa, 34, dan Nuratiqah Abd Hamid, 30, selain adik perempuannya, Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4.

Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah sepupu Mohd Zakri iaitu Hasliza Mahmud, 40, serta suami, Zulkifli Shuib, 41, disamping ibunya Fatimah Mat Isa, 68 selain anak kandung Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Muhammad Haziq Zikri yang terselamat patah tangan kanan, sementara dua beradik iaitu anak kepada Hasliza, iaitu Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan abangnya yang dikenali sebagai Apit, 16, parah.

Berita berkaitan

Tujuh sekeluarga dikebumikan dalam satu liang lahad [METROTV]

Jenazah 7 sekeluarga 'pulang' ke Serdang untuk pengebumian

'Tok Tam teringin sangat ke Cameron Highlands'

'Kiranya Haziq seorang sajalah yang hidup?'

'Percutian tragis dua keluarga'

'Perodua Alza masuk laluan bertentangan sebelum terbalik'

'7 maut MPV bertembung lori'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 8:13 PM