KESAN luka pada paha kiri mangsa selepas diserang dan digigit beruk jantan pada Khamis lalu. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
KESAN luka pada paha kiri mangsa selepas diserang dan digigit beruk jantan pada Khamis lalu. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf


NENEK kepada seorang murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, Lenggong berharap beruk jantan yang menyerang dan menggigit cucunya ditangkap.

Warga emas enggan dikenali itu berkata, dia bimbang bapa beruk yang terpencil daripada kumpulannya itu akan menjadi lebih ganas sekiranya dibiarkan bebas tanpa sebarang tindakan.

Katanya, bapa beruk jantan yang terpencil daripada kumpulan biasanya beruk kalah dan berbahaya, terutama kepada kanak-kanak dan wanita.

"Beruk jantan yang mencederakan cucu saya itu tidak berada dalam kumpulannya, saiznya besar dan hanya berkeliaran sendirian ketika kejadian.

"Setakat ini, ia masih bebas, jadi saya harap beruk itu ditangkap sebelum menjadi lebih ganas," katanya.

Dalam kejadian 5.15 petang Khamis lalu, mangsa, Muhammad Iqbal Hanafi Abdullah, 9, yang sedang bermain-main dengan rakannya di Sungai Chepor yang terletak tidak jauh dari rumah penduduk, diserang seekor beruk jantan besar.

Beruk itu menggigit paha kaki kiri mangsa namun kanak-kanak itu bernasib baik kerana luka bekas gigi haiwan itu tidak dalam dan kejadian dilaporkan di Balai Polis Lenggong pada pagi keesokan harinya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi, berkata sepasukan renjer bersama beberapa penduduk berusaha untuk mencari beruk terbabit.

Beliau berkata, sehingga kini beruk berkenaan belum ditemui dan usaha menjejakinya sedang diteruskan.

"Selain usaha mencari beruk itu, kami menyerahkan borang kepada keluarga mangsa bagi membuat tuntutan pampasan daripada tabung mangsa serangan binatang buas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 9:28 PM