PASUKAN SAR menjalankan operasi di Sungai Kinabatangan, hari ini. FOTO ihsan APM.
PASUKAN SAR menjalankan operasi di Sungai Kinabatangan, hari ini. FOTO ihsan APM.
Hazsyah Abdul Rahman


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki disambar buaya di Sungai Kinabatangan, dekat Kampung Muhibbah, Kinabatangan, semalam akan disambung esok.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, Kepten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, SAR pada hari ini dimulakan pada 8 pagi membabitkan 35 anggota.

Beliau berkata, pasukan SAR dibahagikan empat kumpulan dan menggunakan lima bot termasuk dua bot milik penduduk kampung.

"Lokasi pencarian dijalankan sehingga tujuh kilometer persegi, namun mangsa belum ditemui.

"Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) turut dibuka di Jeti Pangkalan Bukit Garam.

"Arahan tembak buaya turut dikeluarkan kepada petugas Jabatan Hidupan Liar (JHL) jika terlihat haiwan berkenaan dan SAR akan disambung pada 8 pagi esok," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, mangsa, Asmin Abdullah bersama ayahnya turun ke Sungai Kinabatangan untuk menurunkan perahu.

Namun, tiba-tiba ayah mangsa terdengar bunyi kocakan dari belakang dan sebaik berpaling, anaknya sudah disambar buaya.

Berita berkaitan

'Nampak anak dalam mulut buaya'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 10:21 PM