Mohd Roji Kawi


LELAKI yang disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan organ manusia secara haram direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching, Mosidi Husseini, bermula hari ini sehingga 20 Ogos.

Suspek berusia 48 tahun itu dibawa ke mahkamah pagi ini diiringi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nor Elyanis Mohd Yusoff.

Lelaki terbabit ditahan selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, tengah hari, semalam.

Dia tampil di IPD Kuching selepas menyedari dirinya diburu polis sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Lelaki terbabit diburu polis sejak beberapa hari lalu berikutan satu artikel dalam portal berita The Sun yang berpangkalan di United Kingdom.

Menerusi pendedahan akhbar berkenaan pada 8 Ogos lalu itu, dia mendedahkan aktivitinya kepada seorang wartawan akhbar terbabit yang menyamar sebagai pembeli.

Dalam pendedahan kepada wartawan The Sun yang dirakam menerusi kamera tersembunyi itu dia mendakwa boleh mengatur urusan transplan organ secara haram kepada warga Britain dengan kos 85,000 Pound Sterling (RM465,000).

Anggota Polis membawa suspek penjualan organ manusia untuk permohonan reman di mahkamah majistret Kuching. FOTO NADIM
Anggota Polis membawa suspek penjualan organ manusia untuk permohonan reman di mahkamah majistret Kuching. FOTO NADIM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 10:30 AM