Penduduk membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Tawar pagi ini. FOTO Safuri Kamarudin
Penduduk membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Tawar pagi ini. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


LEBIH 300 penduduk di empat kampung berdekatan pekan Tawar di Baling mula menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Tawar, hari ini.

Tinjauan mendapati penduduk mula hadir bermula 8 pagi, selepas arahan bagi menjalani ujian saringan dikeluarkan malam tadi, bagi penduduk di Taman Sheikh Fadzir, Kampung Baru, Pekan Tawar dan Kampung Naga Belakang Sekolah Cina.

Penduduk, Mohd Jailani Abdul Karim, 56, dari Taman Sheikh Fafzir berkata, dia tampil membuat ujian saringan susulan berlaku penularan Covid-19 Kluster Tawar yang diumumkan semalam.

Beliau yang juga bekas penasihat Klinik Kesihatan Tawar berkata, keadaan terkawal dan penduduk yang menerima surat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia datang membuat pemeriksaan.

"Kami memang terkejut apabila dimaklum berlaku penularan Covid-19 dan sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk tampil melakukan ujian saringan.

"Tujuan ujian ini adalag bagi memastikan diri kami selamat dan bebas daripada wabak," katanya ketika ditemui.

Peniaga, Chee Wei Hoi, 37, berkata, mereka sedia memberi kerjasama dan patuh arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

"Saya juga membuat persediaan dengan membeli barang keperluan makanan sekiranya kerajaanpelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan ini.

"Cuma kita bimbang TEMCO akan menjejaskan kehidupan harian dan perniagaan kami sahaja," katanya yang memiliki premis perniagaan di pekan Tawar.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, kluster baharu Covid-19 dikenal pasti bertumpu di Mukim Tawar, Kedah.

Beliau berkata, kes pertama kluster itu (kes 9,113) membabitkan peniaga lelaki warga tempatan yang mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga antara 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 12:51 PM