GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


SATU daripada 13 penerbangan pulang ke tanah air melalui beberapa negara tiada dalam jadual asal menyebabkan 104 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu menyebabkan kumpulan penumpang itu terpaksa berada di KLIA dan tidak dapat dihantar ke stesen kuarantin dalam tempoh ditetapkan.

"Selepas diteliti, daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA, terdapat satu pesawat membawa 104 penumpang tiada dalam jadual asal mendarat di KLIA.

"Penghantaran individu terbabit ke stesen kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar.

"Pihak urus setia mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel lain sedia ada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak urus setia juga memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses itu.

"Kumpulan terakhir ditempatkan di stesen kuarantin pada 10 malam (semalam) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambahbaik penyelarasan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri yang bertindak sebagai sekretariat di peringkat negeri dalam aspek pengurusan stesen kuarantin," katanya.

Menurutnya, seramai 10,838 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua di tempatkan di 60 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 44 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,992 individu didiscaj dan dibenarkan pulang.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengadakan 520 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing," katanya.

Katanya, polis menahan 203 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Daripada jumlah itu, seramai 44 individu direman, manakala 159 lagi dikenakan kompaun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 3:47 PM