DATUK Nadzim Johan (Kanan) merasmikan Malakat Grocer 812 di Putra Persona. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Nadzim Johan (Kanan) merasmikan Malakat Grocer 812 di Putra Persona. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Malakat Mall menyasarkan untuk membuka 5,000 Malakat Grocer 812 menjelang 2030.

Sasaran itu dapat dicapai melalui caruman RM100 sebulan oleh sejuta ahli yang berdaftar dengan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

Pengasasnya, Mohd Fadzli Hashim berkata, Malakat Grocer 812 adalah satu lagi projek berimpak tinggi selepas Malakat Mall di Cyberjaya bertujuan menyatukan kuasa ekonomi umat Islam secara berpusat.

Menurut beliau, sasaran pembukaan 100 Malakat Mall dan 5,000 cawangan Malakat Grocer 812 itu bertujuan merealisasikan penguasaan 20 peratus ekonomi umat Islam di negara ini.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan usaha mewujud dan memperluaskan perniagaan pasar raya serta menyediakan peluang kepada usahawan Islam.

"Melalui caruman RM100 sebulan, dana ahli akan dilaburkan ke beberapa projek berimpak tinggi terpilih ke arah membawa manfaat besar kepada ahli KoPPIM dengan matlamat membina Ekosistem Baharu Ekonomi Islam," katanya kepada media majlis perasmian Malakat Grocery 812 di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Malakat Grocer 812 yang membawa maksud dibuka jam 8 pagi sehingga jam 12 tengah malam itu menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan Bumiputera memasarkan produk dalam komuniti setempat.

Tarikan utama di premis perniagaan ini adalah produk-produk keluaran usahawan kecil dan sederhana Bumiputera dan Muslim seperti yang terdapat di Malakat Grocer di Cyberjaya.

Ia turut menawarkan dua kiosk makanan popular Malakat Mall iaitu Bunch-Oh 812 dan jenama minuman bubble tea, Tea Amo.

Fadzil menyeru masyarakat setempat menjadi sebahagian pemilik melalui pemilikan saham KoPPIM, supaya setiap sen yang dibelanjakan dapat dimanfaatkan melalui agihan keuntungan.

"Malakat Grocer 812 turut memperkenalkan Program Bantuan Makanan Fakir Miskin khusus buat keluarga B40 yang layak.

"Program ini bertujuan memberi peluang kepada keluarga terpilih untuk membeli barangan makanan asas di cawangan Taman Putra Perdana pada harga subsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 4:03 PM