DR Azmi (kiri) membuat lawatan melihat persiapan akhir menjelang pernamaan calon PRK DUN Slim yang akan diadakan 15 Ogos ini di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim. FOTO Hazreen Mohamad
DR Azmi (kiri) membuat lawatan melihat persiapan akhir menjelang pernamaan calon PRK DUN Slim yang akan diadakan 15 Ogos ini di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Iskandar Ibrahim


PENGUNDI Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak perlu menggunakan sarung tangan hanya perlu mencelup jari ke dalam dakwat berbanding dicalit sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, ia adalah penambahbaikan proses pengundian supaya berjalan lancar dan cepat berbanding PRK DUN Chini.

"Ketika PRK DUN Chini, kita mendapati proses pengundian begitu perlahan kerana (pengundi) perlu sanitasi tangan, selepas itu jari mereka dicalit, kemudian pakai sarung tangan dan barulah mengundi.

"Hasil daripada itu, kita menambah baik proses dengan tidak lagi menggunakan sarung tangan manakala pengundi hanya perlu mencelup jari mereka di dalam dakwat berbanding dicalit sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan menjelang penamaan calon PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya turut menambah lebih ramai petugas SPR di lapangan bagi memastikan proses pengundian PRK DUN Slim berjalan lebih lancar.

Jelasnya, seramai 689 petugas SPR akan bertugas pada hari berkenaan, jumlah lebih ramai berbanding hanya 400 ketika PRK DUN Chini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sebanyak 12 borang pencalonan terjual setakat ini.

"Sebanyak 12 borang sudah dijual tetapi ini bukan bermakna ada 12 parti yang membelinya. Ada parti yang membeli borang lebih dari satu borang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 5:55 PM