PEKAN Tawar lengang. FOTO Safuri Kamarudin
PEKAN Tawar lengang. FOTO Safuri Kamarudin
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri Kedah belum bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di kawasan Tawar, Baling susulan wujud Kluster Tawar.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) pada Ahad ini.

"Bagaimanapun Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKKD) Baling diarahkan untuk mengadakan mesyuarat di peringkat daerah dan segera mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.

"Justeru saya mengingatkan orang ramai untuk tidak mengadakan sebarang keramaian atau perhimpunan di kawasan yang ada kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, satu kluster baharu Covid-19 dikenal pasti bertumpu di Mukim Tawar, Kedah.

Beliau dilaporkan berkata, kes pertama kluster itu (kes 9,113) membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang juga seorang peniaga.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki berkenaan mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung antara 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

NSTP hari ini turut melaporkan lebih 300 penduduk di empat kampung berdekatan pekan Tawar di sini, mula menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawar.

Tinjauan mendapati penduduk hadir mulai jam 8 pagi, selepas arahan bagi menjalani ujian saringan dikeluarkan malam tadi, bagi mereka di Taman Sheikh Fadzir, Kampung Baru, Pekan Tawar dan Kampung Naga Belakang Sekolah Cina.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:03 PM