KENTA Goh SH (dua dari kiri) menyerahkan pelitup muka kepada Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan sebagai simbolik kerjasama antara kedua-dua pihak di Majlis Perasmian Cawangan MTPN Pulau Pinang di Suntech@penangcybercity, Lintang Mayang Pasir 3, Bayan Baru. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KENTA Goh SH (dua dari kiri) menyerahkan pelitup muka kepada Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan sebagai simbolik kerjasama antara kedua-dua pihak di Majlis Perasmian Cawangan MTPN Pulau Pinang di [email protected], Lintang Mayang Pasir 3, Bayan Baru. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

MAJLIS Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menerima 300 aduan penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian sehingga RM300 juta sejak Mac lalu.

Ketua Biro Kebajikan MTPN, Datuk Seri Kenta Goh SH berkata, aduan diterima menerusi cawangan MTPN di lima negeri iaitu Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Namun katanya, aduan paling banyak diterima ialah di negeri Johor dan Selangor.

"Aduan yang diterima itu adalah bagi tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Dipercayai ramai yang terpedaya dengan penipuan dalam talian kerana sepanjang PKP, kesemua urus niaga adalah membabitkan dalam talian," katanya ditemui selepas majlis perasmian cawangan keenam MTPN di [email protected], Lintang Mayang Pasir 3, Bayan Baru, hari ini.

Hadir merasmikan majlis ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Sejak ditubuhkan pada Jun lalu, MTPN Pulau Pinang sudah mempunyai lebih 100 keahlian dan mensasarkan sehingga 3,000 ahli sehingga penghujung tahun ini.

Sementara itu Mohd Ridzuan berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti MTPN untuk bersama meningkatkan kempen dan tahap kesedaran pengguna dan peniaga.

"Difahamkan MTPN Pulau Pinang merancang mahu membuka dua lagi cawangan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai dan orang ramai dialu-alukan supaya menyertainya," katanya.

Dalam perkembangan lain Mohd Ridzuan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga pelitup muka di pasaran.

"Bekalan juga mencukupi, namun KPDNHEP negeri akan sentiasa memantau penjualan pelitup muka bagi memastikan harga yang dijual tidak melebihi paras ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:20 PM