X
Samadi Ahmad

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Mukim Tawar, Baling, Kedah perlu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Pusat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata, sebarang keputusan pelaksanaan itu tidak boleh dilaksanakan sebelum diputuskan kerajaan dan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kerajaan negeri Kedah belum boleh mengumumkan TEMCO kerana kuasa mengumumkannya datang daripada MKN dan Kerajaan Pusat.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan penilaian semula kajian risiko di tapak dan cadangan untuk mengadakan TEMCO atau PKPD sekiranya sudah mendapat kelulusan daripada MKN," katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Pembayaran Dengan Kad ATM MyDebit di Hospital dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya, hari ini.

ADHAM. FOTO Luqman Hakim Zubir
ADHAM. FOTO Luqman Hakim Zubir

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pihak Berkepentingan Payments Networks Malaysia Sdn Bhd (Paynet) Firdaus Ghani.

Bermula awal Julai lalu sehingga penghujung tahun ini, orang ramai boleh membuat pembayaran melalui kad debit dan kredit serta pembayaran menggunakan e-dompet ketika menerima rawatan di hospital kerajaan dan klinik kesihatan terpilih di seluruh negara.

Bagi merealisasikan kempen itu, KKM mengadakan kerjasama dengan Paynet bertujuan memupuk budaya tanpa tunai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Terdahulu, media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, Kedah sedia melaksanakan TEMCO di Mukim Tawar berikutan kluster baharu Covid-19 yang dikesan di kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:31 PM