X
KDN mahu wakil UNHCR menyerahkan segera data dan maklumat setiap pemegang kad UNHCR bagi tujuan pengesahan identiti pemegangnya. FOTO BERNAMA
KDN mahu wakil UNHCR menyerahkan segera data dan maklumat setiap pemegang kad UNHCR bagi tujuan pengesahan identiti pemegangnya. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mahu wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyerahkan segera data dan maklumat setiap pemegang kad pertubuhan itu di negara ini, bagi tujuan pengesahan identiti pemegangnya.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya akan memanggil wakil UNHCR di negara ini bersama-sama Wisma Putra untuk tujuan berkenaan.

"Saya akan memanggil mereka bersama-sama Wisma Putra bagi memastikan apa saja data yang ada diserahkan kepada KDN.

"Ia bagi membolehkan ia diselaraskan dan menentukan sesiapa yang memegang kad itu mempunyai dokumen yang sah atau sebaliknya," katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat Timbalan Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sebelum ini, media melaporkan, ada kira-kira 86,155 pelarian Rohingya di negara ini namun hanya 317 daripada mereka yang diberikan penempatan di negara ketiga dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Lambakan pelarian itu berpunca daripada pengeluaran kad UNHCR yang tidak terkawal walaupun Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 dan mengiktiraf mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) serta segala bantuan diberikan kerajaan atas dasar pelarian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 7:16 PM