WANITA warga asing yang ditahan dalam serbuan di jalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua hotel di Subang Jaya, semalam. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
WANITA warga asing yang ditahan dalam serbuan di jalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua hotel di Subang Jaya, semalam. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

HANTAR mesej menerusi aplikasi WhatsApp bagi menempah wanita sebelum diberikan nombor bilik dan masa temujanji.

Itu modus operandi dilakukan sindiket pelacuran dikenali sebagai V Chai yang giat beroperasi di dua buah hotel di Subang Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket terbabit berjaya dihidu Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyerbu dua premis berkenaan pada 7 malam semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya menahan 20 wanita warga asing, seorang lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga tempatan.

"Semua wanita yang ditahan berusia 22 hingga 40 tahun adalah warga Vietnam, Thailand dan Laos yang disyaki melakukan akitiviti pelacuran.

"Modus operandi sindiket ini adalah menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp, dan mereka akan memaklumkan pelanggan perlu membuat temujanji dengan memilih gadis yang diiklankan melalui laman sesawang V Chai.

"Selepas memilih wanita warga asing berkenaan, pengendali akan memaklumkan harga, nombor bilik, tingkat, masa, lokasi dan nombor kod ejen bagi tujuan seterusnya kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wanita warga asing berkenaan mengenakan bayaran RM220 hingga RM500 bagi setiap 45 minit perkhidmatan seks yang ditawarkan.

"Pelanggan perlu membuat bayaran tambahan jika ingin melanjutkan masa. JIM turut menahan dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus dan kapten di hotel berkenaan.

"Serbuan turut merampas sejumlah kondom, wang hasil aktiviti berkenaan berjumlah RM12,090 , tuala, dokumen perjalanan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel," katanya.

Katanya, kebanyakan pas di dalam pasport wanita berkenaan disyaki palsu serta diuruskan oleh rangkaian sindiket yang sama.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Siasatan dibuat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 7:26 PM