PEMANDU kenderaan beralih kepada pembayaran tol menggunakan teknologi RFID. FOTO ihsan PLUS
PEMANDU kenderaan beralih kepada pembayaran tol menggunakan teknologi RFID. FOTO ihsan PLUS
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PEMANDU kenderaan di Kedah dan Pulau Pinang kini beralih kepada pembayaran tol tanpa sentuh dan tanpa tunai menerusi Teknologi Radio Frequency Identification (RFID).

Kadar penggunaan kaedah pembayaran tol baharu itu didapati meningkat daripada 2.3 peratus kepada 10 peratus sejak ia dilaksanakan dua minggu lalu.

Ketua Bahagian Korporat, Komuniti dan Perhubungan Awam PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk perjalanan di lebuh raya yang lebih lancar terutama di plaza tol, ujian perintis awam yang disokong oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati ianya meningkat.

"Kadar peningkatan yang baik dalam tempoh singkat iaitu 14 hari adalah amat positif. Saya percaya ia akan terus meningkat apabila semakin ramai melihat faedah-faedah yang diperolehi daripada sistem pembayaran baharu (RFID) ini.

"Paling ketara adalah ia dapat memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan berbanding pembayaran menggunakan kad yang sedia ada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, apabila dihubungkan dengan eWallet, penggunaan RFID mengurangkan risiko pelanggan tersangkut di lorong tol akibat baki kurang di mana pelanggan perlu menambah nilai secara fizikal dan terdedah kepada penyebaran Covid-19.

"Kami amat berterima kasih kepada LLM kerana menyokong pelaksanaan ujian perintis awam ini. Ia membolehkan kami melaksanakannya buat julung kalinya di sembilan plaza tol Sistem Tertutup iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

"Ia adalah langkah awal sebelum sistem RFID dilaksanakan di lebuh raya Sistem Tertutup yang lain tidak lama lagi," katanya.

Katanya, PLUS juga sedar sokongan terhadap teknologi RFID memerlukan orang ramai terlebih dahulu memahami langkah-langkah yang perlu diambil sebelum mereka menggunakannya bertepatan dengan norma baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 9:15 PM