ARPAH menunjukkan laporan polis yang dibuat. (Gambar kanan) Muhammad Aiman Ikram. FOTO Balqis Jazimah Zahari
ARPAH menunjukkan laporan polis yang dibuat. (Gambar kanan) Muhammad Aiman Ikram. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


"BALIKLAH nak, nanti mak suapkan Aiman nasi," kata Arpah Hamid, 50, yang kehilangan anaknya sejak 9 Ogos lalu.

Ibu tunggal kepada enam anak yang menetap di Manjoi berkata, dua anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam, Muhammad Nasri Safian, 17, dan adiknya, Muhammad Aiman Ikram, 16, menghilang secara tiba-tiba menghilang dan tidak pulang ke rumah.

Katanya, pada 1 pagi tadi, polis dari Bukit Aman menghubunginya memaklumkan Nasri sudah ditemui oleh awam tidur di kaki lima di Kuala Lumpur dan menghantarnya ke balai polis.

"Tetapi, saya sangat bimbang Aiman sehingga kini masih belum dapat dijumpai.

"Dia (Aiman) bukan seperti anak orang biasa, Allah saja yang tahu betapa bimbangnya saya sekarang ini," katanya kepada wartawan di Pejabat NSTP, Bangunan Seri Kinta, Ipoh, hari ini.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, anak bongsunya itu asyik meminta disuapkan nasi.

Menurutnya, kedua-duanya anaknya itu disedari hilang sebaik kakak mereka, Noorhafizah Safiah, 25, balik ke rumah selepas menghantar dia ke tempat kerja pada 9.30 pagi, 9 Ogos lalu.

"Saya memikirkan mungkin mereka berdua pergi ke rumah nenek dan saya hanya membuat kerja seperti biasa.

"Tetapi, apabila pulang dari kerja kira-kira 4 petang, mereka masih tiada, saya cuba mencari sekitar kampung tetapi tidak jumpa," katanya.

Katanya, dia membuat laporan polis pada 10.12 malam hari yang sama kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

Arpah berkata, dia kini buntu dan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lagi anak lelakinya yang hilang.

"Saya sudah mencuba pelbagai ikhtiar untuk mencari Aiman termasuk membaca Yassin dan membuat solat hajat," katanya.

Katanya, Nasri kini dijaga sementara kakaknya yang tinggal di Kuala Lumpur sementara mencari Aiman yang masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 9:19 PM