RAKAMAN video enam saat yang tular di laman sosial. FOTO tular laman sosial
RAKAMAN video enam saat yang tular di laman sosial. FOTO tular laman sosial
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menafikan kemalangan membabitkan sebuah kereta di Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur Subang Jaya disebabkan ada pihak mencurah minyak di kawasan terbabit.

Video berdurasi enam saat itu tular dan mendakwa lokasi berkenaan dicurah minyak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, sebaliknya kemalangan itu berlaku pada 17 Julai lalu akibat mengelak lopak air.

"Kejadian itu berlaku pada 1 pagi apabila pemandu Honda Insight Hybrid membabitkan seorang wanita gagal mengelak lopak air.

"Siasatan lanjut serta keterangan saksi yang membantu mangsa menyatakan tidak berlaku kes khianat tuang minyak di permukaan jalan raya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Risikin berkata, pihaknya kini masih belum mengenalpasti perakam video dan sumber yang ditularkan.

"Orang ramai diseru supaya lebih berintegriti dalam menyebar berita dan berbudi luhur dalam membina masyarakat yang harmoni.

"Berita yang belum disahkan kesahihannya mudah menarik perhatian umum serta mampu mengundang kegusaran umum khususnya pengguna yang sering menggunakan jalan raya di lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 11:14 PM