ANTARA individu yang ditahan dalam Ops Khas Sinsuran di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Juwan Riduan
ANTARA individu yang ditahan dalam Ops Khas Sinsuran di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SERAMAI 103 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas selama seminggu di kawasan Sinsuran, Kota Kinabalu, yang berakhir hari ini.

Semua individu itu ditahan atas kesalahan seperti gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Dadah Berbahaya dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti tidak sihat di kawasan berkenaan.

Katanya, sepanjang operasi, seramai 15 individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP PKPP manakala 13 lagi individu ditahan kerana terbabit dalam kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Selain itu, seramai 46 lagi individu ditahan selepas terbabit melakukan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan 37 lelaki dan sembilan wanita.

"Daripada jumlah itu, 18 adalah rakyat tempatan manakala 28 lagi adalah warga asing membabitkan kesalahan mengedar, memiliki dadah dan positif ujian saringan air kencing," katanya pada sidang media di Sinsuran, hari ini.

Habibi berkata, bagi operasi hari ini pula, polis berjaya menahan seramai 29 lagi individu membabitkan 22 lelaki dan tujuh wanita.

Katanya, tujuh yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah, empat kerana kesalahan melanggar SOP PKPP, dua memiliki syabu dan 16 lagi positif ujian saringan air kencing.

"Polis turut berjaya merampas syabu seberat 19.09 gram yang dianggarkan bernilai RM1,900 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya," katanya.

Sehubungan itu, Habibi mengalu-alukan orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah yang berlaku di daerah ini untuk tindakan segera.

Katanya, polis akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan pencegahan jenayah dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah ini sentiasa aman dan sejahtera.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 11:24 PM