SABKI Yusof. FOTO arkib NSTP
SABKI Yusof. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


"ALHAMDULILLAH syukur. Semoga kita semua terlepas daripada fitnah."

Itu luahan bekas Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub, Sabki Yusof selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan tiada pertuduhan dikenakan ke atasnya dan kes ditutup.

Pada April tahun lalu, dia direman empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung kes suapan berbentuk jam tangan dianggarkan bernilai RM28,000.

Katanya, sepanjang dalam siasatan, dia memberikan kerjasama penuh kerana pemberian hadiah berkenaan diterima daripada sebuah syarikat rakannya di mana dia pernah berkhidmat sebagai peguam di situ.

"Barang yang menjadi tohmahan ke atas saya iaitu jam tangan Omega dikembalikan kepada saya.

"Sebelum ini sebagai seorang peguam dan biasa berkhidmat dalam persekitaran korporat, saya mengingatkan mereka tentang saya tertakluk kepada 'no gift policy' dan menolak hadiah itu, tetapi mereka bertegas untuk memberi dan memaklumkan saya bahawa mereka tiada apa-apa kepentingan perniagaan dalam kementerian saya di mana saya bertugas," katanya.

Sabki berkata, dia turut memanggil unit yang berkaitan dalam kementerian untuk membuat pengisytiharan penerimaan hadiah mengikut prosedur dan mengisi borang yang berkaitan.

"Malangnya, selepas lapan bulan pengisytiharan dibuat, ia dijadikan asas untuk membuat tohmahan rasuah ke atas saya. Alhamdulillah semua selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 11:58 AM