Noor Atiqah Sulaiman


BEKAS setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada bekas menteri bersama tunangnya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan RM3.7 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman kepada kedua-dua suspek sehingga 19 Ogos ini selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sumber berkata, wang berkenaan dikaitkan dengan syarikat yang mendapat projek perkhidmatan pengiklanan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menurut sumber, suspek disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Mereka ditahan pada 5.44 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 29 tahun dan pasangannya berusia 28 tahun tiba di perkarangan mahkamah pada 10.15 pagi dan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga.

Bekas SUSK kepada bekas Menteri dan tunangnya direman lima hari. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Bekas SUSK kepada bekas Menteri dan tunangnya direman lima hari. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Pada 27 Julai lalu media melaporkan, SPRM mendakwa seorang pemilik syarikat atas tiga pertuduhan dan mempunyai kaitan dengan tender pengiklanan berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengemukakan invois yang mengandungi butir matan palsu dan menggunakan dokumen palsu berhubung Tender RFP- Global Advertising Agencies and Promotion for Tourism bernilai RM89 juta bagi tempoh dua tahun.

Berita berkaitan

Bekas setiausaha sulit kanan menteri ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 12:23 PM