PEMANDANGAN perkampungan atas air di pinggiran pekan Semporna pada 2018. Gempa bumi lemah dikesan berlaku di daerah Semporna, 10.01 pagi, hari ini. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN perkampungan atas air di pinggiran pekan Semporna pada 2018. Gempa bumi lemah dikesan berlaku di daerah Semporna, 10.01 pagi, hari ini. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

GEMPA bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter yang dikesan berlaku di daerah Semporna, 10.01 pagi, hari ini, dilaporkan tidak dirasai oleh majoriti penduduk setempat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Fazizul Hizam Borhan ketika dihubungi berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan berhubung gegaran akibat gempa.

Bagaimanapun tinjauan Bernama mendapati segelintir penduduk di beberapa kawasan di daerah Kunak dan Lahad Datu memberitahu mereka merasai gegaran berkenaan.

Seorang penduduk Lahad Datu, Ardy Amat berkata, dia dapat merasai gegaran itu yang berlaku kira-kira lima saat ketika berada di Dewan Plasma MPOB.

"Saya sedang berdiri ketika gegaran itu berlaku, tetapi saya ingat itu cuma perasaan saya sahaja, tetapi sebaik laporan (Jabatan) Meteorologi keluar, saya rasa betul itu gegaran gempa bumi," katanya.

Penduduk Kunak, Muhd Aiman Aziz juga mengaku merasai gegaran itu.

"Rasa gegaran dalam beberapa saat sahaja, tapi tidak kuat," katanya, menambah ketika kejadian dia sedang menonton televisyen.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata pusat gempa itu kira-kira 14 kilometer barat dari Semporna dengan gegaran mungkin dirasai di Semporna.

Menurut kenyataan itu keadaan berkenaan akan terus dipantau.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 12:46 PM