ZURAIDA (tengah) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) melakukan gimik perasmiam dengan menanam sawi. FOTO Aswadi Alias
ZURAIDA (tengah) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) melakukan gimik perasmiam dengan menanam sawi. FOTO Aswadi Alias
Suraya Roslan


"SAYA tidak akan ambil sebarang tindakan, surat itu tidak bermakna."

Demikian komen bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang mengesahkan beliau sudah menerima surat tuntutan saman berjumlah RM10 juta daripada bekas partinya, PKR.

Parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengeluarkan surat tuntutan kepada semua 19 ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang keluar parti menuntut setiap mereka membayar RM10 juta kepada parti.

Mereka termasuk Zuraida dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Zuraida berkata, surat itu diterimanya pada Selasa lalu dan tiada tindakan akan dilakukan pihaknya.

Selain itu, Zuraida turut mengesahkan penyertaan mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka minggu depan.

"Kita cuma sebahagian daripada Bersatu. Sebab itu di Parlimen kami diletakkan sebagai ahli Bersatu.

"Ini cuma formaliti yang belum dibuat oleh kami. Pada 22 Ogos akan ada majlis besar untuk umumkan penyertaan kami dalam Bersatu," katanya dalam sidang media merasmikan Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan 10 bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan menyertai Bersatu.

Selain Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Zuraida, turut dikatakan menyertai Bersatu adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Berita berkaitan:

  • Tuntutan RM10 juta bukan perjanjian ikat wakil rakyat
  • 'Dia nak minta esok pun kami tak peduli' - Zuraida
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 1:23 PM