PEMANDANGAN pusat bandar Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN pusat bandar Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

POLIS Kuala Kumpur mencadangkan supaya 2,000 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar ibu kota, dalam usaha memantau isu keselamatan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, CCTV berkenaan perlu dipasang di kawasan 'hot spot' yang dikenal pasti di daerah Brickfields, Dang Wangi, Wangsa Maju, Cheras dan juga Sentul.

Katanya, pada masa ini hanya 309 unit CCTV dipasang di kawasan sekitar bandar raya.

"Perkara ini kami akan cadangkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, untuk kita pasang di kawasan yang dikenal pasti banyak aktiviti perniagaan dan pelancongan," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan khas bersama penduduk, wakil agensi awam dan swasta, di kawasan Sentul, hari ini.

Pada bulan lalu, Bernama melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bercadang untuk menambah sehingga 5,000 CCTV di kawasan strategik, bagi menjadikan ibu negara sebuah bandar raya lebih selamat.

Anuar berkata, pada masa ini hanya beberapa CCTV beroperasi di kawasan strategik dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan pemberi maklumat, dengan melindungi identiti mereka sepenuhnya, dalam usaha memperbaiki tanggapan orang ramai terhadap polis.

"Pemberi maklumat tidak perlu risau, kerana mereka tidak akan didedahkan sama sekali. Justeru mereka tidak perlu takut untuk tampil menjadi mata, telinga dan mulut kami, sekali gus dapat memperbaiki tanggapan orang awam terhadap pihak polis, dalam usaha bekerjasama membanteras jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 3:48 PM