BAHARUDIN memberi makan burung merpati setiap hari di Little India di Bandar Hilir. FOTO Nazri Abu Bakar
BAHARUDIN memberi makan burung merpati setiap hari di Little India di Bandar Hilir. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


CINTAKAN haiwan menyebabkan seorang lelaki sanggup merayau sekitar bandar Melaka untuk memberi makanan kepada burung merpati dan kucing terbiar.

Baharudin Abdul Latif, 41, turut mengeluarkan belanja sendiri untuk membelikan makanan khusus untuk diberikan kepada haiwan terbabit bermula jam 9 pagi setiap hari.

Menurutnya, dia akan memberi makan burung merpati di Little India di Bandar Hilir di sini, sebelum memberikan makan kucing terbiar dan berkeliaran di sekitar Bandar Hilir, Telok Mas, Batu Berendam dan Sungai Udang di sini, dengan menaiki kereta.

"Peruntukan membeli makanan haiwan ini juga menggunakan wang saku sendiri selain bantuan dan sumbangan orang ramai,' katanya yang berasal dari Kampung Bertam Ulu di sini.

Dia yang aktif bersama Pertubuhan Kebajikan Nur Insani di bandaraya berkenaan turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk kerja amal itu.

"Usaha ini bertitik tolak dari sifat kasih sayang ditunjukkan ibu bapa saya yang amat menyayangi haiwan sebelum ini.

"Ibu saya, Sharipah Tamby Chik ,63, dan ayah, Abdul Latip Mohamad ,65, sering membawa pulang kucing terbiar sekaligus mendorong saya untuk berbakti kepada haiwan.

"Biasanya saya akan memberikan makan kepada haiwan ini sebelum memulakan kerja," katanya.

Dalam masa sama dia dan pertubuhan berkenaan akan mencari enam asnaf setiap hari untuk diberi sumbangan berbentuk makanan dan keperluan lain.

Baharudin berkata, membantu mereka yang memerlukan adalah menjadi amalan mulia untuk kesejahteraan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 3:51 PM