PASUKAN Pemantau PKPP dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi diketuai ASP Mohd Maizuri Abdul Majid bersama anggota penguat kuasa DBKL memeriksa restoran sekitar Dang Wangi. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
PASUKAN Pemantau PKPP dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi diketuai ASP Mohd Maizuri Abdul Majid bersama anggota penguat kuasa DBKL memeriksa restoran sekitar Dang Wangi. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMERIKSAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 914 individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing, semalam, mendapati mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka dikuarantin selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, semua individu yang dikuarantin didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

"PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 129 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 20 individu direman, manakala 109 lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan dilakukan termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam, gagal menyediakan peralatan bagi catitan keluar dan masuk serta tidak memakai sarung tangan ketika menggunting rambut pelanggan.

"Selain itu, ada juga yang didapati tidak memakai pelitup muka serta aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal," katanya.

Beliau berkata, semalam, sebanyak 64,058 pemeriksaan dilakukan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pemantauan dilakukan di 3,900 pasar raya; 5,283 restoran; 1,681 penjaja; 1,523 kilang; 3,568 bank dan 1,095 pejabat kerajaan.

"Sebanyak 1,230 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 114 terminal pengangkutan udara turut dipantau," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, PDRM melakukan 66 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng di seluruh negara, semalam.

"Dalam operasi itu, kami memeriksa 25,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 4:06 PM