ROKOK yang ditemui di dalam rumah burung. FOTO Melvin Joni
ROKOK yang ditemui di dalam rumah burung. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum berjaya memecah masuk bangunan sarang burung walit yang dijadikan stor simpanan rokok seludup di Debak, Betong, semalam.

Dalam serbuan Op Libas kira-kira jam 7.30 malam yang turut membabitkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, sebanyak 3,320 karton rokok kretek dan putih dirampas.

Komander Briged PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, ketika serbuan, seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik bangunan itu.

Katanya, wanita itu memberikan alasan dia tidak memiliki kunci kerana bangunan itu disewakan kepada seorang lelaki yang tinggal di Miri.

"Selepas menunggu lebih dua jam dan pemilik bangunan enggan memberikan kerjasama, ketua operasi mengarahkan untuk mengumpil pintu besi bangunan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 120 karton rokok kretek dan 3,200 karton rokok putih pelbagai jenama yang tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM495,000," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, wanita berusia 50 tahun itu turut ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Betong untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:27 PM