BOT  pukat tunda nelayan tempatan yang digunakan warga Indonesia. FOTO ihsan APMM
BOT pukat tunda nelayan tempatan yang digunakan warga Indonesia. FOTO ihsan APMM
Omar Ahmad


EMPAT lelaki warga Indonesia ditahan selepas didapati bekerja di atas bot pukat tunda nelayan tempatan di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, kira-kira 1.50 petang di di kedudukan 8.7 batu nautika timur Tanjung Balau selepas didapati melanggar syarat sah lesen perikanan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan dikendali empat lelaki warga Indonesia termasuk tekong berumur 23 hingga 44 tahun.

"Mereka bersama bot dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili untuk disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes juga boleh disiasat di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 kerana kru bot tiada pas kerja serta tamat tempoh pas lawatan dan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya.

Menurut Zulfadli, pengusaha bot dinasihatkan mengikut syarat lesen kerana jika didapati melakukan kesalahan sama sehingga kali ketiga, bot boleh disita dan dilucut hak.

Katanya, tindakan pengusaha bot yang tidak memenuhi syarat sah lesen ini akan merosakkan ekosistem laut sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:35 PM