GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara terus melonjak hari ini dengan merekodkan 26 kes menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,175 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 26 kes baharu itu, 23 kes membabitkan penularan tempatan di dalam negara.

Katanya, baki tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu dari Austria, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Menurutnya, kes import itu membabitkan dua warga negara dan satu bukan warganegara.

"Daripada 23 kes penularan di dalam negara, 20 membabitkan warganegara dan tiga bukan warga negara.

"Sementara di Kedah tiga kes bagi Kluster Sala, 10 kes Kluster Tawar dan satu kes Kluster Muda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula satu kes saringan di tempat kerja dan satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke 8,688).

"Di Pulau Pinang Pinang pula dua kes saringan Kluster Tawar yang juga kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-9,129) dan satu kes di Johor iaitu kes saringan pra pembedahan.

"Satu kes di Perlis membabitkan saringan pra pembedahan," katanya.

Beliau berkata, bagi kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula adalah dua kes saringan tahanan yang juga pendatang asing tanpa Izin (Pati) di Negeri Sembilan dan satu kes saringan di tempat kerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat tiga kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 8,831 kes, 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 9,175 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 219 kes.

"Sehingga kini, enam kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 125 kes, 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:45 PM