KELUARGA tiga beranak  gelandangan ini ketika berjumpa Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah di untuk meminta bantuan bagi menyelesaikan hutang 'Ah Long' di Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KELUARGA tiga beranak gelandangan ini ketika berjumpa Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah di untuk meminta bantuan bagi menyelesaikan hutang 'Ah Long' di Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

"TERPERANGKAP dengan hutang ceti haram ( Ah Long) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kami kini hidup umpama pelarian dan menjadi gelandangan," ujar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amat, 33.

Dia yang juga seorang peniaga mendakwa terpaksa berhutang dengan Along sebanyak RM2,000 untuk dijadikan modal perniagaan.

"Namun arahan PKP menyebabkan perniagaan dirancang bersama isteri tidak menjadi.

"Akibatnya kami membuat pinjaman dari dua agensi 'Ah Long' menjadikan jumlah pinjaman meningkat kepada RM6,000. Kini kadar `bunga' ditetapkan mereka menjangkau RM10,000," katanya ketika ditemui bersama isterinya, Ira, 27, dan anak perempuannya berusia dua tahun.

Keluarga malang itu menerima sumbangan dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di Senawang, Negeri Sembilan tadi.

Amat berkata, dia bersama keluarganya kerap tidur di dalam kereta selepas penat berniaga menjual makanan ringan demi kelangsungan hidup.

"Saya sedang berusaha mencari kerja tetap dan isteri berkebolehan memasak beberapa jenis masakan.

"Kami perlukan kerja dan tempat tinggal kerana tidak sanggup lagi hidup seumpama gelandangan. Sesekali kami pergi ke rumah ibu dan mentua namun tidak mahu tinggal di sana terlalu lama berikutan bimbang menyusahkan orang tua.

"Saya tak kisah kerja apa, asalkan dapat mengumpul duit membayar hutang 'Ah Long' yang semakin meningkat setiap hari. Saya mahu membina kembali kehidupan sambil membesarkan anak seperti keluarga lain," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan berusaha mengumpulkan dana bagi membantu keluarga ini membebaskan keluarga terbabit dari hutang 'Ah Long' serta membantu mencarikan pekerjaan.

"Inilah kesilapan segelintir individu yang berhutang Ah Long tanpa menyedari bahaya menanti.

"PERKASIH N9 pernah membantu seorang ibu tunggal yang turut ditimpa masalah sama," katanya.

"Orang ramai boleh membantu mangsa dengan menyumbang kepada tabung PERKASIH N9 melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05100-41-00036695-3 atau menghubunginya di talian 012-9805132 (Norfadilah) bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:50 PM