ANGGOTA polis  memeriksa pintu rahsia sebelum menemui kaunter perniagaan perkhidmatan kiriman wang tidak berlesen. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis memeriksa pintu rahsia sebelum menemui kaunter perniagaan perkhidmatan kiriman wang tidak berlesen. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


CUBAAN empat warga Myanmar bersembunyi di ruang rahsia di sebuah premis perniagaan gagal apabila mereka diberkas polis dalam operasi yang dijalankan di kompleks membeli-belah terkemuka di Bukit Mertajam petang tadi.

Ketika serbuan pada 3.30 petang itu, anggota polis bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang menjalankan operasi bersepadu menemui sebuah kedai runcit mencurigakan.

Pemeriksaan menemui satu pintu yang di dalamnya mempunyai tiga lagi lapisan pintu rahsia yang membawa pihak berkuasa ke premis menjalankan aktiviti penghantaran wang tidak berlesen.

Di dalam premis itu pula dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang mana pekerja di memantau menghidu kehadiran pihak berkuasa namun malangnya keempat-empat mereka terdiri dari seorang lelaki dan tiga wanita warga berusia 20-an ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kegiatan itu termasuklah mengesan pemilik premis.

"Mereka melakukan kesalahan menjalankan perkhidmatan penghantaran wang tanpa lesen dengan berselindung di sebalik kedai runcit.

"Dari segi tindakan pengubahsuaian pada premis itu, MBSP akan mengambil tindakan," katanya hari ini.

Shafee berkata, secara keseluruhannya, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia 18 hingga 49 tahun ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan.

"Mereka terdiri daripada 18 warga Myanmar, empat Nepal dan tiga Pakistan yang didapati tiada pengenalan diri yang sah.

"Operasi ini dijalankan selepas mendapat rungutan dari orang awam hingga tular di media sosial yang mengatakan kompleks beli-belah ini dikuasai peniaga warga asing, namun dalam pemeriksaan didapati kebanyakan ditahan adalah mereka yang berkunjung untuk membeli-belah.

"Memang ada warga asing yang bekerja di sini tetapi dengan pemilik lesen yang sah," katanya.

Shafee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam operasi itu juga, MBSP mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menggajikan warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 9:29 PM