MIOR Faridalathrash. FOTO Arkib NSTP
MIOR Faridalathrash. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

KERTAS siasatan peniaga burger Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut yang mencetuskan kontroversi selepas mendakwa anggota tentera dan polis tidak menjaga solat dalam satu temu bual secara langsung di Facebook dijangka siap, minggu depan.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan selepas polis mengambil keterangan lelaki itu, semalam.

"Siasatan masih dijalankan dan dijangka kertas siasatan dapat dilengkapkan dalam minggu depan.

"Asri disiasat mengikut Seksyen 505 (b) serta Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia susulan kenyataannya itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Pengasas Hot Burger Malaysia itu dipanggil memberi keterangan susulan dakwaannya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat.

Asri Janggut sebelum itu membuat pendedahan mengenai kegiatan premis perjudian yang didakwa dilindungi anggota penguat kuasa.

Bagaimanapun, dia sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa anggota tentera dan polis tidak menjaga solat dalam satu temu bual secara langsung di Facebook, beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 9:33 PM