PELANCONG menaiki beca di kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir, Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
PELANCONG menaiki beca di kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir, Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN negeri perlu konsisten mempromosi lokasi tarikan pelancong bagi menghidupkan semula industri pelancongan pasca Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, walaupun terhad di dalam negara dan memfokuskan pelancong tempatan, pemain industri kini sudah dapat menarik nafas lega.

Menurutnya, industri pelancongan antara yang terjejas teruk ekoran pandemik maut itu kembali aktif dengan mempromosikan pelancongan domestik.

"Kerajaan negeri perlu aktif mempromosikan lokasi tarikan pelancong kerana ini adalah masa yang sesuai untuk merancakkan kembali industri pelancongan domestik.

"Mata juga sudah menjalinkan kerjasama dengan beberapa kerajaan negeri antaranya Selangor dan Negeri Sembilan untuk membantu melonjakkan semula industri yang suram sejak Mac lalu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Khalid berkata, Malaysia juga mempunyai pelbagai lokasi menarik, namun ia tidak sepenuhnya dipromosi sehingga tidak disedari rakyat tempatan.

Katanya, ini adalah masa yang sangat sesuai untuk mengembalikan kegemilangan industri yang menjadi antara penjana ekonomi negara.

"Pemain industri memberi maklum balas yang positif kerana menerusi pembukaan semula sektor pelancongan domestik ia sekali gus memberi impak kepada ekonomi dan sektor pekerjaan.

"Apabila hotel, resort dan kawasan pelancongan beroperasi semula, permintaan tenaga kerja juga akan meningkat dan membantu mengurangkan pengangguran dalam kalangan warga tempatan," katanya.

Beliau berkata, pemain industri pelancongan juga diharap untuk terus menawarkan pakej menarik dengan harga mampu milik agar kerancakan ini tidak hanya bermusim malah boleh dikekalkan untuk jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 1:09 PM