SEBAHAGIAN dadah dirampas susulan penahanan lima individu, Jumaat lalu. FOTO ihsan polis
SEBAHAGIAN dadah dirampas susulan penahanan lima individu, Jumaat lalu. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan lima individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran serta memproses dadah dalam tiga serbuan berasingan di Jalan Radin Anum dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, dalam serbuan pertama di Jalan Radin Anum, pihaknya menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 920 gram (g) serta methaphetamin seberat 102g pada 1.30 pagi.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, kami menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh pada 2.30 pagi.

"Kami merampas dadah jenis methaphetamin seberat 662g, pil ekstasi seberat 21g dan pil erimin 5 seberat sembilan gram dalam serbuan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya merampas beberapa botol mengandungi cecair disyaki bahan kimia digunakan untuk memproses dadah.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan bersama dadah jenis methaphetamin seberat 140g dan heroin seberat 291g di hotel sama dalam serbuan pada 3 pagi.

"Nilai rampasan semua dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM117,290 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap semua suspek berusia antara 36 hingga 50 tahun itu mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamin.

"Semakan mendapati empat suspek lelaki mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan kes dadah serta jenayah," katanya.

Beliau berkata, mereka direman selama enam hari bermula Jumaat lalu hingga 19 Ogos nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan tindakan khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kerana berjaya membongkar satu makmal mini serta menahan semua suspek berkenaan yang dipercayai menjadi pengedar besar di daerah itu.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang memiliki maklumat boleh menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 1:25 PM