FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa perjanjian usaha sama (JV) antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS dilakukan secara tergesa-gesa kerana diarahkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata walaupun lebih wajar menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) terlebih dahulu sebelum memeterai perjanjian JV, tindakan itu tidak perlu kerana perincian mengenai perjanjian berkenaan sudah dikemukakan PMO.

"Saya diberitahu oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias bahawa amat penting untuk menyiapkan perjanjian JV sebelum lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi ke Malaysia, oleh itu ia perlu dilakukan sebelum lawatannya.

"Saya ingat ada emel yang dihantar oleh Azlin, yang memajukan salinan emel daripada usahawan Abu Dhabi, Khaldoon Khalifa Al-Mubarak yang menyatakan syarat JV. Ia dihantar pada akhir 2012 atau awal 2013. Saya menganggapnya dengan niat baik bahawa ini adalah inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G)," kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Beliau berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Shahrol Azral menjelaskan lagi bahawa bukan ideanya untuk menetapkan garis masa perjanjian JV itu kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo dan pada masa yang sama diajukan oleh PMO.

"Arahan (untuk memuktamadkan perjanjian JV) adalah daripada PMO melalui arahan dan perkara yang akan dicakap daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Antara perkara yang dimuktamadkan dalam perjanjian itu ialah 1MDB dan Aabar masing-masing perlu menyuntik RM3 bilion sebelum pengarah syarikat JV dapat dilantik," katanya.

Pengumpulan dana untuk JV merupakan sebahagian daripada syarat perjanjian tanah dalam pembangunan Kuala Lumpur International Financial District (kini dikenali sebagai TRX) antara Aabar dan 1MDB.

Wan Aizuddin kemudian membangkitkan isu berkaitan perjanjian tersebut, walaupun semua dokumen yang berkaitan dengan JV telah dimuktamadkan, perjanjian tersebut tidak pernah direalisasikan hingga 2014.

Wan Aizuddin: Apa lagi kekurangan JV sehingga syarikat JV masih menunggu untuk melaksanakan pembangunan?

Shahrol Azral: Kami menunggu petunjuk serupa daripada Aabar bahawa mereka menyuntik RM3 bilion.

Wan Aizuddin: Jadi tidak ada pengesahan bahawa Aabar ada menyuntik RM3 bilion di pihak mereka?

Shahrol Azral: Tidak dan syarat perjanjian tidak pernah dikaji semula.

Wan Aizuddin: Apa yang anda tahu mengenai RM3 bilion (dari pihak 1MBD) yang dikumpulkan untuk tujuan JV?

Shahrol Azral: Apa yang saya ingat, ia disimpan dalam akaun 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited (1MDB GIL) dan dikendalikan dalam akaun pengurusan tunai yang menjana pulangan pendapatan sementara kami menunggu JV dimuktamadkan.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 1 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 7:37 PM