NOORAZIRO gigih berkerja untuk menyimpan duit bagi majlis perkahwinannya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NOORAZIRO gigih berkerja untuk menyimpan duit bagi majlis perkahwinannya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


"WALAUPUN akan berkahwin dua bulan lagi, namun sekarang saya sudah berlatih menjawab akad nikah," kata Nooraziro Abdullah ketika ditemui di tempat kerjanya dekat Kampung Kubang Tangga di Kuala Terengganu, hari ini.

Nooraziro, 35, dari Kampung Gong Nangka sebelum ini tular di media sosial selepas menggantung poster untuk mencari jodoh.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nooraziro mengakui terpaksa menggunakan cara itu berikutan mahu mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia akan berkahwin dengan kekasih pilihan hatinya yang dipanggil Suhaibah atau Ibah, 33, dari Kuantan itu, pada 10 Oktober ini.

"Majlis pernikahan akan diadakan di rumah pengantin perempuan di Kampung Jaya Gading, Kuantan.

"Pada 17 Oktober pula, majlis menyambut menantu akan diadakan di rumah saya di Marang.

"Semua persiapan sudah dibuat termasuk membeli barangan hantaran dan kelengkapan perkahwinan lain," katanya.

Tambahnya, dia dan bakal isteri memilih warna biru sebagai tema pada hari persandingan nanti.

"Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya sekarang, cemas, berdebar dan gugup apabila tarikh perkahwinan semakin dekat.

"Bimbang juga gagal menjawab akad nikah nanti, maklumlah kisah saya mencari jodoh tular di media sosial, justeru pasti ramai yang akan hadir pada majlis dan ia bakal menjadi perhatian orang.

"Biarpun cara menjawab akad nikah itu ringkas dan senang dihafal tetapi jika sedang berdebar semuanya boleh lupa," katanya yang berkerja sebagai tukang rumah.

Menurutnya, dia gigih berkerja untuk menambah simpanan seterusnya digunakan bagi mengadakan majlis perkahwinannya nanti.

"Saya harap semua yang dirancang berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan.

"Jika bukan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa, saya sudah lama berkahwin dengan Ibah," katanya.

Bercerita lanjut mengenai bakal isterinya itu katanya, dia berkawan dengan wanita itu yang juga peniaga nasi ayam itu sejak akhir Januari lalu, sebelum bercinta pada Mac.

"Sejujurnya, saya pernah berkawan dengan beberapa orang wanita selepas poster untuk mencari jodoh itu tular di media sosial.

"Bagaimanapun, Ibah yang paling sesuai dan mempunyai keserasian dengan saya oleh itu mengambil keputusan untuk mengahwininya," katanya.

Berita berkaitan

Ramai nak kenal

Moga bertemu jodoh boh

Gemuk, hodoh pun tak pe...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 10:00 AM