BERNAMA

PEMBERIAN sokongan termasuk menandatangani surat permohonan bukan jaminan untuk seseorang individu mendapat jawatan dalam mana-mana organisasi, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan untuk melantik individu untuk mana-mana jawatan dalam organisasi adalah hak organisasi terbabit.

"Macam-macam orang datang minta sokongan daripada saya dan saya akan sokong. Sokongan bukan bermakna (permohonan) dipenuhi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Slim River di Felda Besout 2, Slim River, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sokongan beliau terhadap surat permohonan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz supaya anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat farmaseutikal yang tular di media sosial, sejak semalam.

Ismail Sabri berkata, beliau menyokong permohonan itu kerana anak timbalan menteri terbabit adalah seorang graduan dalam bidang kejuruteraan awam dan peniaga yang berjaya, seterusnya berpotensi membantu syarikat farmaseutikal berkenaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, walaupun permohonan itu mendapat sokongan beliau, namun difahamkan pihak Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemilik syarikat farmaseutikal itu tidak melantik anak timbalan menteri berkenaan.

"Saya tidak campur tangan daripada segi pelantikan. Itu kuasa LTAT, jadi surat (permohonan sokongan) setakat surat," katanya.

Beliau turut memuji timbalannya kerana tidak menyalahgunakan kuasa dengan secara terus mengajukan surat permohonan pelantikan anak beliau kepada LTAT.

"Dia (timbalan menteri) tak perlu hantar kepada saya (surat permohonan sokongan), dia boleh terus (hantar) kepada pengerusi syarikat kerana pelantikan ahli lembaga pengarah adalah daripada pihak LTAT sendiri," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) merangkap Naib Presiden UMNO beramah mesra bersama veteran ATM ketika hadir di Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan Bersama Warga Veteran  di Dewan Orang Ramai Felda Besout 2. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) merangkap Naib Presiden UMNO beramah mesra bersama veteran ATM ketika hadir di Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan Bersama Warga Veteran di Dewan Orang Ramai Felda Besout 2. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 2:54 PM