Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa pada Majlis Pelancaran Kayuhan Amal Bomba 2020 "Mencari Hati Emas" di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, 6 Ogos lalu. FOTO MAHZIR MAT ISA
Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa pada Majlis Pelancaran Kayuhan Amal Bomba 2020 "Mencari Hati Emas" di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, 6 Ogos lalu. FOTO MAHZIR MAT ISA
Noorazura Abdul Rahman


DEMI mengutip dana bagi membantu keluarga dan anggota bomba memerlukan, seorang pegawai bomba sanggup mengayuh basikal mengelilingi semenanjung Malaysia secara solo sejauh 2,020 kilometer (km).

Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, berkata hasil kutipan menerusi kayuhan amal Tabung Kebajikan Anggota Bomba itu akan diagihkan selepas dia tamat melakukan kayuhan dijangka pada 31 Ogos ini.

"Idea melakukan kayuhan ini timbul sejak dua tahun lalu, namun akibat kekangan kerja sebagai jurulatih di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Tengah di Kuala Kubu Bharu, Selangor, saya terpaksa menangguhkan niat ini.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mula melakukan latihan intensif selama dua bulan sebelum melakukan kayuhan bermula di Selangor ke selatan tanah air, pantai barat dan tiba di Sik semalam," katanya selepas Majlis Pelepasan Kayuhan Amal Bomba 2020 'Mencari Hati Emas' di Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sik, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Syufaat Kamaron.

Mohd Fakhrul yang juga anak kelahiran Sik berkata, setiap hari dia mengayuh secara purata antara 100 hingga 150km dan bermalam di BPP di setiap negeri.

Katanya, dia tidak mengalami sebarang masalah ketika kayuhan sehinggalah berlakunya kekejangan otot semasa kayuhan dari Jeli, Kelantan ke Grik, Perak, semalam.

"Faktor geografi berbukit bukau di laluan itu menyebabkan otot kaki saya kejang. Alhamdulillah pasukan pengiring dapat membantu saya sebelum dapat meneruskan kayuhan sehingga ke Sik, semalam.

"Pengalaman bertugas selama 15 tahun selain pernah menyertai ekspedisi mendaki gunung termasuk di luar negara banyak membantu menjayakan kayuhan amal ini dan sehingga kini saya sudah melakukan kayuhan sejauh 1,800km.

"Selepas ini saya akan lengkapkan kayuhan ke Perlis terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke Alor Setar, Pulau Pinang, Perak dan lokasi terakhir di JBPM Putrajaya," katanya.

Mohd Fakhrul berkata, hasil kutipan kayuhan amal itu akan diserahkan kepada pengurusan JBPM sebelum disumbangkan kepada keluarga dan anggota bomba yang memerlukan.

Beliau berkata, mereka termasuk keluarga anggota yang meninggal ketika bertugas, anggota cedera dan menghidap penyakit kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 2:59 PM