STATUS yang dimuat naik peniaga ikan hiasan di Facebook yang tular malam tadi. FOTO Facebook
STATUS yang dimuat naik peniaga ikan hiasan di Facebook yang tular malam tadi. FOTO Facebook
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS mengesahkan menerima laporan daripada seorang peniaga kedai ikan hiasan yang mendakwa bekalan elektrik di premisnya dipotong pihak berkuasa menyebabkan menanggung kerugian besar.

Pemotongan itu dilakukan pagi semalam dalam satu operasi dijalankan polis daerah Petaling Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi mengekang aktiviti perjudian.

Ketua Polis Daerah petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, premis peniaga itu terletak di tingkat atas manakala premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian beroperasi di tingkat bawah.

"Alamat diberi sudah betul dan kita (polis) turun sendiri tunjuk premis yang tersenarai.

"Ada dua kotak (bekalan elektrik) bersebelahan dan pihak TNB tersilap membuat pemotongan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan peniaga ikan hiasan di Facebook yang tular malam tadi.

Peniaga itu mendakwa hanya menyedari premisnya tiada bekalan elektrik pada 4.30 petang menyebabkan ikan hiasannya mati dan menanggung kerugian.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 15 premis yang sebelum ini dijadikan tempat perjudian dipotong bekalan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 12:10 AM