Rafidah Mat Ruzki


TINDAKAN penguatkuasaan terhadap pihak yang mengingkari arahan kuarantin wajib, terletak pada bahu badan penguatkuasa seperti polis.

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, berlaku salah faham membabitkan kecaman orang ramai terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib, bulan lalu.

Dr Jemilah berkata, KKM memastikan orang ramai mematuhi arahan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) 1988 dan tidak menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Yang pertama kita kena faham bahawa Akta 342 memang jelas. Tugas KKM adalah untuk memastikan orang ramai ikut arahan.

"Kalau ada yang tidak ikut arahan, terpulang kepada pihak penguatkuasa, bukan KKM lagi.

"Orang salah faham. KKM tidak membuat penguatkuasaan. Mereka hanya akan kemukakan masalah itu kepada pihak peguam atau polis untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Kayuhan 'MNCF Virtual Ride 2020' anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Persekutuan Berbasikal Malaysia Norazman Abu Samah.

Dr Jemilah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pengguna media sosial yang mengecam tindakan KKM mengenakan kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Mohd Khairuddin yang tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah dengan menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu, selepas pulang daripada lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai.

Kompaun itu dikatakan terlalu rendah berbanding dengan jumlah denda yang dikenakan terhadap seorang lagi individu yang didapati mengingkari perintah kuarantin wajib sebelum ini, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, yang didenda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, pada 14 Ogos lalu.

Dr Jemilah berkata, kerajaan sudah menjalankan tugas yang baik dalam menangani penularan Covid-19 justeru peranan rakyat Malaysia adalah untuk bersabar selain akur dengan SOP yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat Malaysia juga perlu mengambil berat dengan isu kesihatan lain termasuk masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung.

"COVID-19 adalah satu detik kita dicabar dengan virus yang begitu dahsyat. Kesihatan orang ramai masih perlu dijaga.

"Di Malaysia gejala kencing manis, darah tinggi danjantung sangat tinggi. Kita kena jaga pemakanan dan kena beriadah serta bersenam kerana ia adalah satu cara untuk mencegah penyakit tidak berjangkit," katanya.

Selain itu, Dr Jemilah berkata, vaksin untuk Covid-19 perlu dalam usaha untuk mengawal penularan penyakit berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ada kebimbangan keberkesanannya mencegah pelbagai jenis virus Covid-19, penggunaan vaksin berkenaan sekurang-kurangnya dapat memberi imunisasi kepada orang ramai.

GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan KKM
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan KKM

Berita berkaitan:

  • 'Kadar kompaun terhadap Khairuddin had maksimum'
  • Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji
  • Menteri dah kena kompaun: KKM
  • Air mata 'Makcik gelang pink'
  • Makcik gelang pink dijel sehari, denda RM8,000 [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 11:27 AM