GAMBAR hiasan. FOTO Amran Hamid
GAMBAR hiasan. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri Kedah bercadang menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di empat mukim terjejas akibat Kluster Sivagangga lebih awal berikutan tiada lagi kes positif Covid-19 yang dicatatkan kebelakangan ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebanyakan penduduk di kawasan TEMCO kini berada dalam tempoh pemerhatian selepas tamat kuarantin beberapa hari lalu.

"Sebelum ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas Covid-19) kita ada mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar TEMCO ditamatkan lebih awal iaitu sebelum tarikh sepatutnya pada 30 Ogos ini.

"Mungkin kita boleh tamatkan pada 26 atau 27 Ogos apabila tiada lagi kes Kluster Sivagangga sejak dua minggu lalu, tetapi kita belum menerima sebarang maklum balas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan makanan daripada Yayasan Petronas kepada 300 penduduk yang terjejas di kawasan TEMCO di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan TEMCO di empat kawasan di Kedah iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap ekoran penularan Covid-19 yang berpunca daripada Kluster PUI Sivagangga.

MUHAMMAD Sanusi (tiga dari kanan) bersama Zulkifli Othman (kanan) menujukkan barang makanan yang akan disumbangkan kepada keluarga berpendapatan B40 yang terjejas. FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Sanusi (tiga dari kanan) bersama Zulkifli Othman (kanan) menujukkan barang makanan yang akan disumbangkan kepada keluarga berpendapatan B40 yang terjejas. FOTO Amran Hamid

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut menyatakan kebimbangannya apabila Kluster Tawar di Kedah semakin merebak sehingga sudah mencatatkan 63 kes sejak kes pertama dikesan pada 11 Ogos lalu.

Beliau berkata, beberapa cadangan yang perlu dirahsiakan sudah dikemukakan kepada MKN bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Beberapa sekolah di Baling dan Kulim ditutup selepas terdapat guru dan murid sekolah positif virus berkenaan.

"Kita mengarahkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memperketatkan lagi pergerakan orang ramai agar tidak terlalu bebas dan tidak mewujudkan tempat sesak seperti pasar malam.

"Ini saja cara untuk kita putuskan rantaian Covid-19 demi kemaslahatan umum, kita ambil langkah yang perlu dan untuk tindakan lain kita perlu tunggu arahan daripada MKN," katanya.

Pada 13 Ogos, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, satu kluster baharu Covid-19 dikenal pasti bertumpu di Mukim Tawar, Kedah.

Beliau dilaporkan berkata, kes pertama kluster itu (kes 9,113) membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang juga seorang peniaga.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki berkenaan mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga antara 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 4:23 PM