Abdullah melihat pokok getahnya tumbang diserang gajah liar di Kampung Kala Baharu, Gua Musang. Foto Ramli Ibrahim
Abdullah melihat pokok getahnya tumbang diserang gajah liar di Kampung Kala Baharu, Gua Musang. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

KERUGIAN besar terpaksa ditanggung 20 penduduk apabila ladang getah dan sawit di Kampung Kala Baharu dekat Gua Musang diceroboh gajah liar lebih empat bulan lalu.

Mereka juga berada dalam ketakutan untuk ke ladang itu kerana seekor gajah jantan masih berkeliaran di kawasan lebih 40 hektar terbabit.

Seorang penduduk, Mazlan Mohamed, 52, berkata, kiraan awal kerugian kemusnahan ladang itu lebih sebulan lalu sudah mencecah RM200,000.

Katanya, kini ia meningkat kepada hampir RM300,000 berikutan gajah liar terbabit belum beredar dari situ dan terus memusnahkan pokok sawit dan getah.

Dia berkata, semua kerja termasuk membaja pokok terbabit juga tertangguh sejak beberapa bulan lalu kerana bimbang dengan serangan gajah.

"Kita ada memasuki kawasan ladang itu tetapi terpaksa beramai-ramai kerana mudah meminta pertolongan jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Gajah liar itu kerap kali terserempak dengan kami berada dalam semak berhampiran ladang sawit menyebabkan kami ketakutan," katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi pemilik ladang getah, Abdullah Salleh, 46, berkata, kehadiran gajah liar berkeliaran dalam ladang penduduk adalah paling lama kali ini.

Katanya, memang sebelum ini sudah beberapa kali gajah liar berkeliaran di situ tetapi tidak lama apabila ia kembali semula ke hutan.

Dia bimbang jika tindakan segera tidak diambil bagi menghalau gajah liar itu mungkin keluar ke kampung dan boleh mengganggu penduduk.

"Ladang sawit sudah berusia tiga tahun dan setahun lagi akan keluarkan hasil tetapi ancaman gajah liar itu boleh menjejaskannya.

"Kami sudah buntu memikirkan perkara itu kerana masalah serangan gajah liar tidak ada kesudahan sampai sekarang dan terpaksa kehabisan modal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 11:19 AM