DR Adham bertemu pesakit Talasemia, Muhammad Amir Syafiq, 15 ketika melawat Pusat Transplan Sel Stem Pediatrik di Hospital Tunku Azizah. FOTO Asyraf Hamzah.
DR Adham bertemu pesakit Talasemia, Muhammad Amir Syafiq, 15 ketika melawat Pusat Transplan Sel Stem Pediatrik di Hospital Tunku Azizah. FOTO Asyraf Hamzah.
Sophia Ahmad


NEGARA memerlukan lebih ramai pakar genetik bagi membolehkan usaha membendung penyakit talasemia dapat digerakkan secara lebih aktif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia selaras dengan penemuan penyakit berkenaan boleh dicegah jika pembawanya dikesan dari awal.

Menurutnya, langkah pengesanan dan pencegahan sejak awal mampu membantu kerajaan menjimatkan sejumlah besar biaya yang perlu dikeluarkan bagi perkhidmatan perubatan.

"Talasemia sebenarnya boleh dicegah dan penekanan perlu diberikan kepada aspek pencegahan, melalui ujian saringan bagi mengesan pembawa talassemia.

"Data Talasemia Kebangsaan 2019 (MTR 2019) yang dilancarkan hari ini adalah pangkalan maklumat milik negara yang terbesar di dunia membabitkan penyakit ini," katanya selepas melancarkan MTR 2019 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar Kamarudin.

Dr Adham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha diambil kerajaan setakat ini dalam mengawal penyakit berkenaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyelidikan berkaitan aspek talasemia amat penting bagi meningkatkan mutu perkhidmatan penyakit itu di negara ini.

"MTR ini adalah satu daripada komponen di bawah Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 25 Ogos 2004.

"Ia bukan hanya mengandungi data pesakit, tetapi turut berjaya memetakan taburan geografi bagi kategori diagnosa talasemia dalam kalangan pelbagai etnik di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 6:02 PM