Nurul Hidayah Bahaudin


PIHAK polis berjaya mengesan dua mangsa yang dipukul dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Landak, Pudu, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat bunyi bising di lokasi pada 3.11 pagi.

"Bertindak atas maklumat itu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi digerakkan ke lokasi.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, didapati tiada lagi pergaduhan, namun anggota URB membuat pemantauan di situ.

"Malah, anggota terbabit cuba menghubungi pengadu yang membuat aduan berkenaan, namun tiada jawapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam kejadian itu.

LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.

"Namun, satu laporan polis dibuat oleh petugas Pusat Kawalan Polis Dang Wangi berhubung pergaduhan berkenaan.

"Ekoran kejadian itu, kami berjaya mengesan dua mangsa yang dipukul dalam kejadian terbabit," katanya.

Beliau berkata, siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi tiga minit 51 saat menunjukkan lelaki dipukul beberapa individu menggunakan senjata dipercayai topi keledar di lokasi berkenaan yang tular di media sosial, hari ini.

Malah, mangsa juga dilihat diseret dengan rambutnya ditarik oleh kumpulan lelaki berkenaan selain dipukul serta ditendang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 7:13 PM