MANGSA maut di lokasi kejadian akibat dihempap pokok yang ditebangnya di Jalan Penempatan, Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
MANGSA maut di lokasi kejadian akibat dihempap pokok yang ditebangnya di Jalan Penempatan, Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG pekerja kontrak maut selepas dihempap pokok yang ditebangnya di Jalan Penempatan, bersebelahan tangki besar simpanan air Luyang di Kota Kinabalu, jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa, Rainoid Mesayun, 18, disahkan mati di lokasi akibat parah di kepala.

"Menurut saksi kejadian, sebaik pokok berkenaan hampir tumbang, orang ramai menjerit mengarahkan mangsa melarikan diri.

"Namun, mangsa lari ke arah yang salah sebelum dihempap pokok terbabit," katanya dihubungi.

Habibi berkata, doktor Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) yang datang ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa sudah mati.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke bilik mayat Hospital Queen Elizabeth 1 untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 7:17 PM