KEADAAN kereta dipandu Mohd Izwan (gambar kecil) selepas kemalangan. FOTO ROSLI ILHAM
KEADAAN kereta dipandu Mohd Izwan (gambar kecil) selepas kemalangan. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


PEMANDU kereta dan penunggang motosikal maut selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 101, Jalan Jerangau-Jabur dekat Ladang Risda Durian Mas 1, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) di Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 6 petang itu, pemandu kereta Proton Satria, Mohd Izwan Mustafa, 29, dan penunggang motosikal, Mohamad Arif Amali Azhar, 23, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Izwan dari arah AMBS ke Kemaman dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar besi penghadang jalan .

Pada masa sama, Mohamad Arif yang menunggang motosikal Yamaha Y15 datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta terbabit.

Rempuhan kuat itu menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke dalam kereta terbabit yang menyebabkan orang ramai menyangka penunggang motosikal jatuh ke dalam gaung.

MOHAMAD Arif (gambar kecil) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta. FOTO ROSLI ILHAM
MOHAMAD Arif (gambar kecil) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta. FOTO ROSLI ILHAM

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) AMBS, Penolong Penguasa Bomba Zul Husni Abdul Rahman berkata, sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati dua mangsa berada di dalam kereta dan pemandu kereta itu tersepit di tempat duduk.

"Penunggang motosikal yang tercampak ke dalam kereta itu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta terbabit.

"Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Bachok, Kelantan dan Bandar Baru Cheneh, Kemaman itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, " katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

"Keluarga kedua-dua mangsa dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987, "katanya.

Sementara itu, bapa kepada Mohd Izwan, Mustafa Ghani, 72, berkata, dia tidak sedap hati apabila anaknya masih belum tiba di rumah.

"Mohd Izwan bekerja sebagai pemandu skylift di AMBS dan setiap hari dia akan sampai ke rumah pada 4 petang.

"Hari ini, saya tidak sedap hati seperti ada sesuatu tidak kena. Saya dan ibunya tertunggu-tunggu kepulangannya dan pada 7.20 malam, saya terima panggilan dia terbabit dalam kemalangan," katanya.

Katanya, kesedihan selepas kematian anak sulung, Mohd Azizan pada tahun lalu masih belum terubat dan hari ini, mereka sekali lagi diuji Ilahi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 10:28 PM