RAKAMAN yang tular kejadian langgar lari di Kilometer 56.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak, semalam.
RAKAMAN yang tular kejadian langgar lari di Kilometer 56.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak, semalam.
Nor Azizah Mokhtar


DUA penunggang motosikal yang dilanggar lari pemandu Toyota Camry di Kilometer 56.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, semalam hanya mengalami kecederaan ringan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kedua-dua mangsa dalam kejadian itu sudah berjaya dikesan dan dipastikan identitinya.

"Penunggang dan pembonceng motosikal dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong.

"Pemandu kenderaan yang melanggar mereka juga sudah ditangkap di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada 6.51 petang tadi (semalam)," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Katanya, tindakan pantas JSPT menahan suspek dapat meredakan kemarahan warganet berhubung kejadian berkenaan.

"Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang prihatin dan peka atas kejadian ini.

"Kita juga amat mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu dan boleh disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Semalam, tular satu video rakaman menunjukkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang dipandu dari arah Pahang menghala ke Kuala Lumpur dan sebuah motosikal yang ditunggang bersama seorang pembonceng.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, pemandu Toyota Camry dilihat mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan di hadapan dan dalam masa yang sama ada sebuah motosikal di lorong berkenaan.

Motosikal terbabit cuba mengelak lalu terbabas dan jatuh ke tebing kiri jalan.

Difahamkan, dua mangsa dalam kejadian itu, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 26 tahun akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk membuat laporan polis sebelum dirakam keterangan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Pemandu Camry sudah ditahan [METROTV]

Sesuka hati masuk lorong kecemasan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 12:39 PM