KETUA Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kinabatangan, Akhsyah Nasrah.
KETUA Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kinabatangan, Akhsyah Nasrah.
Hazsyah Abdul Rahman


CADANGAN menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 mampu memberikan signifikan besar kepada rakyat Sabah.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kinabatangan, Akhsyah Nasrah berkata, kos sara hidup ketika ini sudah meningkat dan kenaikan itu dilihat wajar dilakukan.

Katanya, ia bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, malah kualiti hidup sesebuah keluarga itu juga berubah.

"Ini satu dasar yang sangat baik kepada rakyat... Kita tidak boleh lagi memberikan (bantuan) di bawah kadar yang sepatutnya.

"Harga barangan semakin tinggi, dan kos sara hidup meningkat jadi pada saya Perdana Menteri seorang yang sentiasa memahami dan mendengar denyut hati rakyat.

"Bantuan RM1,000 ini sangat baik untuk meningkatkan bukan setakat taraf hidup tetapi juga kualiti hidup rakyat itu sendiri," katanya dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Bersatu cawangan Kampung Bilit Kinabatangan, di Sandakan, semalam.

Menurutnya, peningkatan jumlah bantuan berkenaan juga sebenarnya turut meningkatkan kuasa beli rakyat khususnya di Sabah.

"Apa yang saya boleh lihat dasar ini boleh memberi impak yang baik kepada kualiti hidup itu sendiri kerana mereka mampu mempunyai kuasa beli yang semakin meningkat.

"Langkah ini sangat perlu dalam memastikan rakyat termasuk di Kinabatangan mempunyai jumlah pendapatan yang cukup, terutama mereka yang layak menerima bantuan kebajikan itu.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara berkenaan ketika berucap dalam satu majlis di Sandakan.

Beliau dilaporkan berkata akan mengusulkan kenaikan itu dalam mesyuarat kabinet menteri minggu depan.

Sebelum ini, golongan B40 hanya menerima bantuan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:26 PM