GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN seorang pesakit melarikan diri dari Hospital Lama Hospital Alor Setar (HAS) ketika dikuarantin hari ini, gagal apabila dia ditahan polis.

Kejadian disedari pada 11.15 pagi tadi selepas lelaki itu dipercayai melarikan diri dari wad hospital berkenaan sebelum pengawal keselamatan menghubungi polis untuk memaklumkan perkara itu.

Anggota polis bersama pengawal keselamatan kemudian mengejar pesakit itu dan berjaya mengepungnya di kawasan taman berhampiran Wisma Darul Aman dengan bantuan Pasukan Pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Selepas dikepung, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpakaian pelindung diri (PPE) khas hadir dan membawa pesakit itu pulang ke wad dengan menaiki ambulans khas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu sebelum ini adalah pesakit wad psikiatrik di hospital berkenaan namun dihantar ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana perlu menjalani pembedahan apendiks.

Beliau berkata, ketika ditahan di wad ICU, pesakit ini sudah membuat saringan Covid-19 berikutan terdapat pesakit lain di wad itu yang didapati positif Covid-19.

"Selepas saringan awal, pesakit ini didapati negatif namun dihantar ke HAS untuk kuarantin bermula 31 Ogos hingga 12 September ini.

"Bagaimanapun lelaki itu tidak memakai gelang merah jambu seperti yang ditular," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Azman berkata, ini kali kedua lelaki itu cuba melarikan diri dengan kali pertama melakukannya semalam pada 9.15 malam namun ditemui anggota balai bergerak dan pengawal keselamatan di penjuru pagar HAS.

Beliau berkata, pesakit itu bertindak melarikan diri untuk pulang ke rumahnya di Kepala Batas.

"Pesakit ini mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun namun hasil maklumat diperolehi, pesakit ini pernah beberapa kali cuba melarikan diri dari wad psikiatrik ketika ditahan di situ termasuk cubaan melarikan diri melalui siling wad dan bertindak agresif.

"Namun dalam kejadian ini tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan kejadian berjaya ditangani dengan baik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 6:15 PM