DATUK Surina Saad bersama Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid bertemu penduduk kampung di perairan Kuala Perlis di Kampung Pulau Ketam. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
DATUK Surina Saad bersama Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid bertemu penduduk kampung di perairan Kuala Perlis di Kampung Pulau Ketam. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Kuala Perlis dikesan sebagai lokasi kedua penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bukit Malut, Langkawi yang melarikan diri selepas kawasan itu digempur pihak berkuasa sejak Julai lalu.

Tinjauan mendapati terdapat lebih 30 rumah lengkap bekalan elektrik dan air kini didiami PATI terbabit sekitar kawasan pesisir Kuala Perlis.

Penempatan terbabit didapati kelihatan seperti kampung nelayan biasa berikutan terdapat beberapa rumah turut didiami penduduk setempat.

Bagaimanapun, hampir kesemua penghuni tidak berada di rumah berikutan mereka keluar menangkap ikan sejak awal pagi lagi.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, kawasan terbabit dikesan pihaknya selepas memperoleh maklumat daripada penduduk setempat dan hasil risikan.

Menurutnya, terdapat maklumat mengatakan ada sebahagian PATI terbabit memiliki MyKad selain mula mendirikan penempatan di beberapa kawasan berhampiran perairan Kuala Perlis.

"Ada maklumat kita terima mereka ini datang menaiki bot dengan alasan mahu menangkap ikan ketika ditegur nelayan tempatan di jeti kawasan ini.

"Tetapi mereka tidak keluar dari kawasan Kuala Perlis dan mendirikan penempatan di beberapa kawasan sekitar ini.

"Walaupun ada penduduk yang tidak mahu mereka datang ke sini, ada pihak yang bertindak melindungi PATI dengan membantu menyembunyikan mereka," katanya ketika sidang media di Pangkalan Marin Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Surina berkata, faktor kedudukan dan geografi Kuala Perlis yang seakan sama seperti Bukit Malut menjadikan kawasan terbabit menjadi lokasi pilihan PATI terbabit.

"Kita percaya mereka ini tiba dengan bot dan berlabuh di jeti haram yang berada di perairan Kuala Perlis sepanjang 1.5 kilometer.

"Kita dapati ada 59 jeti haram buatan sendiri dan kebanyakannya tersorok di dalam hutan paya bakau.

"Saya percaya kegiatan ini aktif dilakukan belakangan ini," katanya.

Surina berkata, dia sudah meminta unit kereta peronda polis (MPV) melakukan rondaan di kawasan terbabit selain menumpukan kawasan panas dalam usaha mengekang aktiviti berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung berhampiran yang enggan dikenali berkata, kedatangan PATI ke kawasan berkenaan sudah lama berlaku, namun ia kelihatan meningkat antara bulan Jun dan Julai lalu.

"Penduduk asal di penempatan ini ada membantah akan kehadiran mereka memandangkan perbezaan antara budaya dan sosial agak ketara.

"Namun kebelakangan ini sudah mula muncul individu atau keluarga yang tidak dikenali dan mendakwa berpindah dari Langkawi tetapi tidak dinyatakan kawasan spesifik," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan mengambil tindakan atas pencerobohan tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut, Langkawi, oleh kumpulan warga asing dari Myanmar.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata, penempatan berkenaan dibina secara haram dan pihak berkuasa akan mengambil langkah sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 5:35 PM