SHAMSUL Anuar (tengah) dan Mohd Salim (dua dari kiri ) mengibar Jalur Gemilang pada program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penerangan Isu-Isu Semasa di Dewan Felda Jaya Selatan di sini, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
SHAMSUL Anuar (tengah) dan Mohd Salim (dua dari kiri ) mengibar Jalur Gemilang pada program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penerangan Isu-Isu Semasa di Dewan Felda Jaya Selatan di sini, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kemelesetan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun ia sudah menyumbang RM250 juta kepada pengguna sebagai diskaun elektrik bagi April hingga Disember 2020.

Sumbangan itu adalah menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Bantuan Prihatin Elektrik.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, keuntungan bersih TNB merosot bagi separuh pertama tahun kewangan 2020 disebabkan kemelesetan ekonomi berikutan wabak Covid-19.

Beliau berkata, faktor penyusutan keuntungan itu turut dipengaruhi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta tukaran mata wang asing yang tidak stabil.

"TNB merekodkan penyusutan keuntungan selepas cukai sebanyak 46.7 peratus kepada RM1.41 bilion daripada RM2.65 bilion bagi tempoh sama tahun lalu," katanya selepas program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penerangan Isu-Isu Semasa di Dewan Felda Jaya Selatan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Shamsul Anuar berkata, kerajaan memahami situasi yang berlaku terhadap TNB ketika ini namun bagaimanapun permintaan elektrik menunjukkan trend peningkatan sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

"Selain sumbangan menerusi pakej Prihatin dan Bantuan Prihatin Elektrik, TNB turut menyumbang hampir RM28 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri bagi pembelian bekalan perubatan dan kelengkapan perlindungan diri untuk membendung wabak Covid-19," katanya.

Shamsul Anuar berkata, kerajaan berkeyakinan TNB mampu menghadapi situasi mencabar ini dan berharap kepentingan rakyat dan negara akan tetap menjadi keutamaan.

"Biarpun menyaksikan penyusutan keuntungan, fokus utama membantu rakyat yang terkesan tetap diteruskan dengan melanjutkan diskaun bil elektrik bagi pengguna domestik sehingga Disember ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 9:59 PM